Wednesday, August 21, 2013

Kenyataan Persatuan Belia Islam Nasional,
Universiti Malaysia Sabah (PEMBINA UMS) Membantah Kekejaman Terhadap Rakyat Mesir

Dengan penuh keinsafan dan rasa tanggungjawab, kami dari Persatuan Belia Islam Nasional, Universiti Malaysia Sabah (PEMBINA UMS), ingin menzahirkan rasa kekesalan dengan situasi yang berlaku di Mesir dan membantah sekeras-kerasnya tindakan kekejaman tentera kudeta terhadap rakyat Mesir yang berhimpun secara aman bagi menyatakan kebenaran dan mempertahankan kedaulatan negara. Justeru, kami ingin mengulangi dan menegaskan aspirasi kami iaitu bersama memacu mahasiswa dan belia untuk membawa agenda perjuangan demi melahirkan sebuah masyarakat yang aman dan harmoni. Asas kepada pembentukan masyarakat negara ini adalah perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama negara dan demokrasi yang tidak bertentangan dengan nilai sejarah dan prinsip perlembagaan tersebut.

Peserta perhimpunan aman membantah rampasan kuasa daripada pemerintah yang dipilih secara demokrasi yang sah, dibunuh dengan kejam dan bilangan mereka yang dibunuh meningkat saban hari sehingga mencecah ribuan orang. Masjid-masjid yang menjadi tempat beribadah dibakar tanpa rasa bersalah. Pada bulan Jun tahun 2012, Dr. Muhamad Morsi telah menang dalam pilihanraya dan mengalahkan lawannya Ahmed Shafik, dengan perbezaan undi 52-48 peratus untuk memenangi jawatan Presiden.

Kemenangan ini tidak bertahan lama, struktur demokrasi dan politik di Mesir telah dirosakkan oleh golongan sekularis, liberalis dan campur tangan asing yang tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka dalam pilihanraya yang lepas. Pelbagai usaha telah dirancang dan dilaksanakan sehingga membawa kepada rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh jeneral tentera Mesir iaitu Abdul Fattah As-sisi. Tindakan tersebut adalah tidak bertamadun dan mencabul prinsip demokrasi yang sering mereka laung-laungkan.

Justeru, PEMBINA UMS menyeru belia dan mahasiswa Muslim di seluruh negara secara umum, dan mahasiswa Muslim di UMS khususnya untuk sama-sama berusaha membantu mangsa kekejaman di Mesir dengan kemampuan yang ada. Lazimilah doa untuk saudara seaqidah, solat hajat mereka dan qunut nazilah untuk pertolongan Allah bagi mencapai kemenangan. Perkara yang berlaku di Mesir mestilah menjadi pengajaran kepada mahasiswa dalam meneruskan perjuangannya sebagai seorang mahasiswa yang unggul. Bagi mahasiswa yang bukan beragama Islam, sesungguhnya kekejaman yang berlaku di Mesir adalah di luar nilai kemanusiaan sejagat.

Kami juga menyeru mahasiswa agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa sama ada yang berlaku dalam dan luar negara. Dengan mengikuti perkembangan semasa, mahasiswa akan lebih jelas halatuju perjuangan hidup dan identiti diri. Walaubagaimanapun, mengikuti perkembangan semasa mestilah disertai dengan menyertai program-program pembangunan jatidiri dan tarbiyah yang berterusan kerana hanya dengan program tersebut, kita akan mampu menilai dan mangambil pengajaran yang tepat daripada peristiwa yang berlaku di sekeliling.

Ketika kita mengkaji dan membaca mengenai perkembangan di Mesir, jangan kita lupa akan ancaman yang sama tidak mustahil akan berlaku di negara kita. Bagi mahasiswa dan mahasiswi yang belum bergiat aktif dengan sebarang persatuan mahasiswa muslim dan aktiviti kemahasiswaan, teruskan pembacaan dan cakna isu, suatu hari nanti anda pasti akan merasai kepentingan berpersatuan dan terlibat dalam aktiviti kemahasiswaan. Namun, bagi yang sudah bergiat aktif, jangan kita remehkan program-program tarbiyah dalam membentuk kefahaman Islam yang jelas agar kita tidak tewas dan keliru dalam pertembungan ideologi yang sengit ketika ini.

Akhirnya, kami dari Persatuan Belia Islam Nasional Universiti Malaysia Sabah (PEMBINA UMS), ingin sekali lagi menzahirkan rasa kekesalan dengan situasi yang berlaku di Mesir dan membantah sekeras-kerasnya tindakan kekejaman tentera kudeta terhadap rakyat Mesir yang berhimpun secara aman bagi menyatakan kebenaran dan mempertahankan kedaulatan negara.


Persatuan Belia Islam Nasional Universiti Malaysia Sabah (PEMBINA UMS)

“ Meneraju Arus Mahasiswa”




Wednesday, July 17, 2013

Mata Pelajaran Tamadun Islam dan Asia Tenggara (TITAS) Sebagai Subjek Wajib di Institut Pengajian Tinggi Wajar Dipertahankan








Ustaz Sarip Bin Adul


Kota Kinabalu, 16 Julai 2013 - Berikutan langkah kerajaan untuk 
mewajibkan kursus Tamadun Islam dan Asia Tenggara (TITAS) di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), pelbagai reaksi di kalangan masyarakat Malaysia termasuk ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan telah muncul. Penasihat PEMBINA Sabah yang juga pensyarah kursus TITAS di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ustaz Sarip Bin Adul berkata terdapat banyak impak positif melalui usaha mewajibkan kursus TITAS kepada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam sebelum ini.
       Kursus ini penting bagi memastikan mahasiswa mempelajari dan memahami bagaimana tamadun-tamadun besar dunia terbina. Perkara tersebut penting bagi memastikan Tamadun Malaysia yang bakal dibangunkan generasi hari ini yang terdiri dari pelbagai etnik mengambil kira resepi yang ada dalam setiap tamadun besar yang dimiliki mereka seperti Tamadun Islam, Tamadun Melayu, Tamadun Cina dan Tamadun India. Beliau juga menyatakan bahawa dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kursus ini tidak penting dengan alasan ia tidak diperlukan untuk melahirkan seorang doktor, peguam ataupun jurutera adalah dangkal dan tidak berasas sama sekali.

       “Negara Malaysia memerlukan doktor, peguam dan jurutera yang celik sejarah tanah air dan nilai-nilai ketamadunan yang mempengaruhi pembentukan negara Malaysia, dan bukannya robot-robot yang hanya pakar dibidangnya tetapi buta hakikat sejarah dan budaya negara bangsa yang diamalkan sejak sekian lama di Malaysia, ” katanya. Mengenai dakwaan beberapa NGO bahawa kursus tersebut adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menurutnya menjamin hak untuk menganut dan mengamalkan agama seseorang dan menghalang indoktrinasi sesuatu agama yang tidak dianutinya, Ust. Sarip membidas dengan kenyataan berikut, “Pihak yang mendakwa sedemikian sebenarnya tidak faham apa sebenarnya isi kandungan kursus TITAS serta tidak faham nilai sejarah dan perlembagaan negara.

       “Tidak ada sebarang unsur paksaan untuk menganuti agama Islam dalam matapelajaran tersebut, bahkan pelajar turut didedahkan dengan topik berkaitan Tamadun Cina dan India. Sekiranya wujud penekanan yang lebih terhadap topik Tamadun Islam sekalipun, ianya selari dengan perlembagaan negara yang meletakkan Agama Islam sebagai agama persekutuan, begitu juga dengan hakikat sejarah yang telah sekian lama menjadikan Islam sebagai nilai dan budaya utama negara,” katanya.

Saudara Mazlan Bin Latif
       Bagi Mazlan Bin Latif, Timbalan Setiausaha PEMBINA UMS yang juga mahasiswa tahun kedua di UMS serta pernah menduduki kursus ini, kursus TITAS sangat berguna dan penting dalam membentuk jatidiri mahasiswa. Pengalaman mempelajari kursus TITAS adalah menarik dan membuatkan mahasiswa lebih faham hakikat kewujudan tamadun-tamadun besar yang mempengaruhi pembentukan negara Malaysia. Beliau juga menyatakan bahawa tidak pernah ada sebarang usaha memaksa mahasiswa menganuti mana-mana ajaran sepanjang mengikuti matapelajaran tersebut. Baginya, isu ini sengaja ditimbulkan sebagai provokasi murahan yang sengaja dirancang.

       “Akhir - akhir ini kita diserang dengan pelbagai isu sensitif yang boleh membangkitkan kemarahan, saya jangkakan lebih banyak lagi isu sensitif akan timbul selepas ini, saya menyeru mahasiswa dan mahasiswi bersedia menghadapi zaman yang mencabar ini dengan memberi komitmen terhadap program-program pembentukan jatidiri dan memahami pertembungan ideologi yang sedang hebat berlaku ketika ini,” katanya.


Berita dan artikel berkaitan
1. DAP gesa kerajaan keluarkan subjek Tamadun Islam dari universiti swasta
http://my.news.yahoo.com/dap-gesa-kerajaan-keluarkan-subjek-tamadun-islam-dari-042714159.html
2. Wajib Titas umpama indoktrinasi, kata NGO
 http://www.malaysiakini.com/news/235632
3. Jadikan Titas Subjek Elektif, Bukan Wajib - MCA, DAP
http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp
file=/2013/7/13/mstar_berita/20130713225811&sec=mstar_berita