Wednesday, August 21, 2013

Kenyataan Persatuan Belia Islam Nasional,
Universiti Malaysia Sabah (PEMBINA UMS) Membantah Kekejaman Terhadap Rakyat Mesir

Dengan penuh keinsafan dan rasa tanggungjawab, kami dari Persatuan Belia Islam Nasional, Universiti Malaysia Sabah (PEMBINA UMS), ingin menzahirkan rasa kekesalan dengan situasi yang berlaku di Mesir dan membantah sekeras-kerasnya tindakan kekejaman tentera kudeta terhadap rakyat Mesir yang berhimpun secara aman bagi menyatakan kebenaran dan mempertahankan kedaulatan negara. Justeru, kami ingin mengulangi dan menegaskan aspirasi kami iaitu bersama memacu mahasiswa dan belia untuk membawa agenda perjuangan demi melahirkan sebuah masyarakat yang aman dan harmoni. Asas kepada pembentukan masyarakat negara ini adalah perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama negara dan demokrasi yang tidak bertentangan dengan nilai sejarah dan prinsip perlembagaan tersebut.

Peserta perhimpunan aman membantah rampasan kuasa daripada pemerintah yang dipilih secara demokrasi yang sah, dibunuh dengan kejam dan bilangan mereka yang dibunuh meningkat saban hari sehingga mencecah ribuan orang. Masjid-masjid yang menjadi tempat beribadah dibakar tanpa rasa bersalah. Pada bulan Jun tahun 2012, Dr. Muhamad Morsi telah menang dalam pilihanraya dan mengalahkan lawannya Ahmed Shafik, dengan perbezaan undi 52-48 peratus untuk memenangi jawatan Presiden.

Kemenangan ini tidak bertahan lama, struktur demokrasi dan politik di Mesir telah dirosakkan oleh golongan sekularis, liberalis dan campur tangan asing yang tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka dalam pilihanraya yang lepas. Pelbagai usaha telah dirancang dan dilaksanakan sehingga membawa kepada rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh jeneral tentera Mesir iaitu Abdul Fattah As-sisi. Tindakan tersebut adalah tidak bertamadun dan mencabul prinsip demokrasi yang sering mereka laung-laungkan.

Justeru, PEMBINA UMS menyeru belia dan mahasiswa Muslim di seluruh negara secara umum, dan mahasiswa Muslim di UMS khususnya untuk sama-sama berusaha membantu mangsa kekejaman di Mesir dengan kemampuan yang ada. Lazimilah doa untuk saudara seaqidah, solat hajat mereka dan qunut nazilah untuk pertolongan Allah bagi mencapai kemenangan. Perkara yang berlaku di Mesir mestilah menjadi pengajaran kepada mahasiswa dalam meneruskan perjuangannya sebagai seorang mahasiswa yang unggul. Bagi mahasiswa yang bukan beragama Islam, sesungguhnya kekejaman yang berlaku di Mesir adalah di luar nilai kemanusiaan sejagat.

Kami juga menyeru mahasiswa agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa sama ada yang berlaku dalam dan luar negara. Dengan mengikuti perkembangan semasa, mahasiswa akan lebih jelas halatuju perjuangan hidup dan identiti diri. Walaubagaimanapun, mengikuti perkembangan semasa mestilah disertai dengan menyertai program-program pembangunan jatidiri dan tarbiyah yang berterusan kerana hanya dengan program tersebut, kita akan mampu menilai dan mangambil pengajaran yang tepat daripada peristiwa yang berlaku di sekeliling.

Ketika kita mengkaji dan membaca mengenai perkembangan di Mesir, jangan kita lupa akan ancaman yang sama tidak mustahil akan berlaku di negara kita. Bagi mahasiswa dan mahasiswi yang belum bergiat aktif dengan sebarang persatuan mahasiswa muslim dan aktiviti kemahasiswaan, teruskan pembacaan dan cakna isu, suatu hari nanti anda pasti akan merasai kepentingan berpersatuan dan terlibat dalam aktiviti kemahasiswaan. Namun, bagi yang sudah bergiat aktif, jangan kita remehkan program-program tarbiyah dalam membentuk kefahaman Islam yang jelas agar kita tidak tewas dan keliru dalam pertembungan ideologi yang sengit ketika ini.

Akhirnya, kami dari Persatuan Belia Islam Nasional Universiti Malaysia Sabah (PEMBINA UMS), ingin sekali lagi menzahirkan rasa kekesalan dengan situasi yang berlaku di Mesir dan membantah sekeras-kerasnya tindakan kekejaman tentera kudeta terhadap rakyat Mesir yang berhimpun secara aman bagi menyatakan kebenaran dan mempertahankan kedaulatan negara.


Persatuan Belia Islam Nasional Universiti Malaysia Sabah (PEMBINA UMS)

“ Meneraju Arus Mahasiswa”