Sunday, August 29, 2010

CINTA HAMBA ALLAH KEPADA ALLAH

Cinta Hamba Allah kepada Allah s.w.t.. Seseorang hanya dikatakan mencintai Allah s.w.t., dengan sebenar-benar cinta adalah, apabila seseorang mencintaiNya, tanpa sebarang kepentingan untuk dirinya sendiri. Dia seraya mencintai Allah s.w.t. hanya kerana rasa syukur kepada Allah s.w.t., atas sekalian nikmat dan anugerah yang dikurniakan kepadanya, ataupun kerana ingin menghargai cinta Allah s.w.t. kepadanya.


Faktor pendorong bagi menyemai rasa cinta seseorang hamba kepada Allah s.w.t. adalah, dengan melihat tanda-tanda kecintaan Allah s.w.t. kepada dirinya, ataupun melihat sekalian nikmat dan anugerahNya dalam kehidupannya, untuk seterusnya menghargaiNya dengan mencintaiNya.

Manusia gagal melihat tanda-tanda kecintaan Allah s.w.t. dalam diri dan kehidupannya, kerana dia terhijab daripada hakikat sesuatu lalu tenggelam dalam lautan Al-Aghyar (segala sesuatu selain Allah s.w.t.). Hatinya sentiasa bergantung kepada makhluk-makhluk, kerana merasakan bahawa, para makhluk tersebutlah yang dapat membantu dan memperbaiki urusan kehidupannya. Sebuah unsur fitrah dalam diri manusia adalah, rasa memerlukan kepada selainnya. Bahkan, unsur kehambaan dalam diri seluruh makhluk yang wujud ini, adalah, rasa memerlukan kepada suatu tempat pergantungan.

Firman Allah s.w.t.: dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sentiasa memerlukan (kepada-Nya); (Surah Muhammad: 38 ( Oleh yang demikian, apabila seseorang terhijab dengan makhluk yang saling berinteraksi dengannya di sekelilingnya, maka dia akan melupai Allah s.w.t., yang wujud di sebalik kehidupanNya, yang pada hakikatnya, Dialah Maha Pentadbir seluruh kehidupannya dan seluruh alam ini. Dia terlalai daripada menyedari hakikat bahawa hanya Allah

s.w.t.-lah yang selama ini menguruskan kehidupannya, yang membantunya, yang memberi anugerah kehidupan dan nikmat kepadanya dan sebagainya, dek kerana lemas dengan muamalah dengan para makhlukNya yang pada hakikatnya hanyalah suatu tanda bagi muamalahNya kepadanya.

Allah s.w.t. mengetahui hakikat fitrah manusia yang serba memerlukan kepada selainNya, namun sentiasa menegaskan bahawa, satu-satunya tempat pergantungan dan tempat menyandarkan harapan dalam kehidupan hanyalah kepada ALLAH s.w.t.. Hanya kepadaNyalah, seluruh manusia bahkan seluruh makhluk perlu menyandarkan harapan. Ini kerana, hanya Allah s.w.t.-lah, yang manusia dan seluruh makhluk perlukan, untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.

Firman Allah s.w.t.: Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah dialah yang Maha Kaya (Tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.(Surah Fatir: 15) Hidup ini, dengan segala ujian dan anugerah yang terkandung di dalamnya, hanyalah semata-mata untuk menjadikan sebab agar kita menzahirkan rasa lemah dan tidak berdaya kita di hadapan Allah s.w.t. (yang disebut denganiftiqor), lalu merasakan diiri kita hanya

memerlukan Allah s.w.t. dalam kehidupan. Tanda seseorang itu telah merasakan kefaqirannya kepada Allah s.w.t. (memerlukan hanya Allah s.w.t.) adalah, dia akan sentiasa menjaga rasa kefaqirannya kepada Allah s.w.t.. Dia tidak akan mencari selain Allah s.w.t. sebagai tempat pergantungan. Dia tidak akan mencari selain Allah s.w.t. untuk menjadi tempat sandaran harapannya.

Inilah yang dimaksudkan oleh Imam Yahya bin Mu'az Ar-Razi: "Tanda kefaqiran seseorang (di hadapan Allah s.w.t.) adalah, dia takut kehilangan kefaqirannya (di hadapan Allah s.w.t.." (Ar-Risalah Al-Qusyairiyah: 211) Maksudnya, seseorang yang merasakan diri hanya memerlukan Allah s.w.t., akan berasa takut untuk mengharap kepada selain Allah s.w.t..

Daripada rasa memerlukan hanya Allah s.w.t., inilah, akhirnya seseorang akan mula menyaksikan bahawa, segala yang berlaku di sekelilingnya hanyalah daripada Allah s.w.t.. Ini suatu rasa muroqobah yang tersemat dalam diri seseorang manusia, yang amat digalakkan oleh Rasulullah s.a.w..


Seseorang yang berjaya keluar dari kepompong "merasakan makhluk-makhluk yang berperanan dalam kehidupannya" menuju kepada hakikat "merasakan hanya Allah s.w.t. yang berperanan dalam kehidupannya", akan mula menghayati hakikat-hakikat dirinya yang sentiasa memerlukan hanya Allah s.w.t. dan menghayati semua yang berlaku dalam kehidupan ini hanyalah merupakan perbuatan-perbuatan Allah s.w.t. ke atasnya (hakikat kehidupan).

No comments: