Sunday, August 29, 2010

Mendambar Cinta Allah s.w.t.

Mendambar Cinta Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.:

 Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah Lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Ma'idah: 54)


Dalam ayat tersebut, Allah s.w.t. memberi amaran kepada umat Islam, supaya tidak meninggalkan ajaran agama Islam, kerana jika umat Islam meninggalkan ajaran Islam, Allah s.w.t. akan memusnahkan mereka seluruhnya dan menggantikan mereka dengan suatu kaum lain yang mana, kaum tersebut yang mana mereka dicintai dan mencintai Allah s.w.t..

Fenomena "Allah s.w.t. mencintai mereka dan mereka mencintai Allah s.w.t." tersebut hakikatnya adalah anugerah yang tidak terhingga dalam umat Islam, yang membina umat dengan landasan ajaran Al-Qur'an dan As-Sunnah. Namun, jika umat Islam tidak menghargai nikmat tersebut, maka Allah s.w.t. yang tidak pernah memerlukan sesiapa, hanya kerana ingin membuktikan keagunganNya, maka Dia akan menggantikan umat yang meninggalkan agamaNya dengan suatu kaum yang mendapat anugerah "dicintai dan mencintai Allah s.w.t." tersebut.

Cinta Allah s.w.t. Kepada Hamba-hambaNya Para ulama' berselisih pendapat tentang perbahasan cinta Allah s.w.t. ini. Adapun para ulama' Al-Asya'irah mengembalikan sifat ini kepada sifat iradah Allah s.w.t., di mana, menurut mereka, sifat cinta di sisi Allah s.w.t. adalah suatu sifat cabang yang termasuk dalam

sifat iradah Allah s.w.t., iaitu ingin memberi kebaikan kepada para hambaNya. Mereka menegaskan bahawa, sifat cinta itu sendiri, walaupun daripada sifat iradah (kehendak) Allah s.w.t., namun ianya khusus bagi kehendak akan kebaikan kepada para hambaNya.

Sebahagian para ulama' juga mengaitkan cinta Allah s.w.t. kepada makhluk sebagai sifat af'al (sifat perbuatan Allah s.w.t.) yang lahir daripada sifat iradah Allah s.w.t., dengan maksud, cinta Allah s.w.t. kepada makhluk adalah memberi kebaikan kepada para hambaNya.

Adapun para sufi menetapkan sifat cinta bagi Allah s.w.t., sebagai suatu sifat yang berbeza hakikatnya dengan sifat iradah, dalam masa yang sama, bersepakat dengan prinsip asas para ulama' Al-Asya'irah bahawa, sifat-sifat Allah s.w.t. itu qadim. Bagi kaum sufi, mereka secarazauqi dapat mengenal perbezaan antara sifatiradah dan sifathubb (cinta) Allah s.w.t., melaluiathar (kesan) sifat-sifat tersebut dalam pengalaman kerohanian mereka.

Menurut mereka, sifat cinta, redha dan sebagainya, jika dinisbahkan kepada Allah s.w.t, maka ia suatu yang hakiki, dan tersendiri, dalam masa yang sama, sifat-sifat tersebut bersifatqadim, yang saling berkait rapat dengan sifat ilmu Allah s.w.t., seperti sifatiradah (kehendak) Allah s.w.t. juga.

Apapun ta'rif dan kefahaman yang cuba diberikan oleh para ulama', apa yang pasti, hakikat cinta Allah s.w.t. kepada para hambaNya tidak sama seperti hakikat cinta makhluk kepadaNya, bahkan, tiada yang mengetahui hakikat cintaNya selain daripadaNya.

Hal ini dijelaskan oleh para penghulu sufi sendiri, dengan ungkapan mereka, "adalah benar-benar suatu keajaiban, apabila makin tersingkap (mengenali hakikat-hakikatNya melalui syuhud) makin tersembunyi (hakikat Allah s.w.t. yang selebihnya yang tiada penghujung bagi hakikatNya)."

Maksudnya, seseorang itu, apabila makin kenal Allah s.w.t., maka dia akan merasakan bahawa, dia semakin tidak mengenali Allah s.w.t. kerana proses pengenalan daripada Allah s.w.t. itu tidak terhenti, kerana tiada batasan bagi hakikat Allah s.w.t., begitu juga tiada batasan bagi sesi pengenalan daripadaNya, bagi orang-orang yang mahu mengenaliNya.

No comments: